Sakitkah Negara Kita: Mengapa?
Masyarakat seperti ‘Diri’ badan bagi kita. Diri kita ada yang sihat dan ada yang sakit dan berpenyakit. Begitu juga dengan ‘Diri’ masyarakat, iaitu Negara ada yang sihat dan ada yang sakit kerana berpenyakit. Al-Imam al-Ghazali rahimahullah di dalam Ihya` Ulum al-Din karangannya menganalogi diri adalah sebuah Negara kecil yang ciri-ciri dan sifat-sifatnya mencerminkan ciri-ciri dan sifat-sifat bagi sebuah Negara dan Kerajaan diri.
Analogi daripada diri bagi kerajaan bahawa pusat pemerintahan diri, ialah kota hati. Adapun minda yang termasuk di bawahnya panca indera ialah pimpinan pentadbiran daripada presiden atau Perdana Menteri membawalah kepada pentadbir dan kakitangan. Manakala anggota tubuh badan seperti kaki dan tangan sebagai tentera dan pergerakan darah melalui saraf-saraf ialah rakyat jelata. Perlu diingat konsep `Hati` bagi Iman al-Ghazali ialah penyatuan puncak bagi nafsu, akal, hati dan rohani bagi Diri. Demikian bagi Negara, ‘Kerajaan’ adalah kesatuan pemerintahan daripada raja atau presiden, perdana menteri, pentadbiran, tentera dan rakyat. Konsep hati dan bandingan yang dibuat oleh al-Imam al-Ghazali ini adalah berinspirasi dari ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi yang banyak berhubung dengan hati.
Melihat kepada badan secara fizikal diri yang dianalogi kepada Negara, maka di dalam penghidupan moden ini berbagai-bagai jenis makanan dan minuman dihasilkan yang menjadi pilihan pengguna sebagai permakanan bagi pertumbuhan dan pembesaran diri fizikal dan keluarga dengan harapan diri dan keluarga sihat. Namun permakanan bagi diri fizikal tidak terjamin selamat dari bahan-bahan beracun yang boleh membahayakan kesihatan pengguna dan mengundang berbagai-bagai penyakit. Antara penyakit moden yang ditakuti diakibatkan oleh permakanan moden yang mengandungi racun, toxic dan pencemaran yang mengancam diri manusia ialah penyakit berangkai bermula dari darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung ditambah dengan barah, khusus bagi orang perempuan ialah sakit payu dara. Penyakit-penyakit ini adalah merupakan penyakit yang sukar diubati dan sering membawa maut. Demikianlah dengan masyarakat bagi satu-satu bangsa bagi sesebuah Negara yang pimpinan dan pentadbir-pentadbir yang tidak memberi perhatian pada pendidikan rakyat, tidak menjalankan pentadbiran dengan baik dan adil serta berlaku penyelewengan-penyelewengan mengundang penyakit-penyakit kronik masyarakat dan negara seperti penderitaan dan kemiskinan rakyat marhain, meningkatnya jenayah, berlaku kezaliman, penindasan, rasuah, porak-peranda dan tergugatnya Negara. Jika wujud, terdapat dan berlakunya gejala-gejala negatif di atas di dalam sesebuah Negara, maka ianya menandakan bahawa Negara tersebut sedang mengalami kesakitan. Kadar teruk, parah dan sakitnya Negara bergantung pada parah dan seriusnya penyakit. Sebagai contoh jika pendidikan tidak berjaya melahirkan generasai berakhlak dan berperadaban, perundangan tidak ditegakkan secara adil, sedang rasuah menjadi-jadi, kekayaan Negara dibolot oleh pihak tertentu secara kroni dan nepotisi, tiada keamanan dan Negara porak-peranda, maka Negara tersebut akan binasa atau dibinasakan sebagaimana badan yang teruk sakit dengan darah tinggi disertai pula dengan kencing manis, sakit jantung dan ditambah dengan penyakit barah, maka tubuh yang menderita itu akan mati.
2. Sakitkah negara kita?
Sebagaimana diibaratkan Negara seperti badan seperti dianalogi oleh al-Imam al-Ghazali dan boleh mengalami penyakit sebagaimana dibicarakan di atas, marilah kita memeriksa situasi, kondisi dan prestasi kesihatan Negara kita dengan analogi bahawa Negara kita sudah tua, melebihi usia lima puluh tahun, iaitu dikira sejak dari zaman kemerdekaan. Sakitkah Negara kita? Banyak simptom penyakit dapat dikesan pada Negara kita. Ambil dari yang kecil seperti anak-anak ponteng sekolah, memukul guru, menyebabkan kematian teman sekolah, pelajar perempuan melahirkan anak, ibu bapa menyaman guru dan guru menyaman ibu bapa membawa kepada membenih dan meningkatnya gejala sosial di tengah masyarakat, meningkatnya anak di luar nikah (statistik 2005 seramai 68,000 orang), kes-kes buang bayi, kes-kes colek seperti yang terjadi kepada adik Nuri Jazlin dan Sharlinie. Timbulnya kumpulan mat rempit, kumpulan samseng, kegiatan meragut, mencuri, merompak, merogol dan membunuh. Keadaan sedemikian membuat masyarakat merasa tidak lagi selamat. Ini menandakan bahawa negara juga tidak lagi selamat lantaran pasukan keselamatan dan polis, bahkan masyarakat sendiri tidak dapat mengawalnya. Ini menandakan bahawa Negara berpenyakit. Gejala penyakit sosial dapat dilihat dari statistik berikut tentang makin meningkatnya jenayah di dalam Negara:
Tahun Jumlah jenayah
2005 157,459
2006 209,388
2007 224,298
(The Sun, Mach 19, 2007: 1 & January 9, 2008: 1)
Ketidakamanan masyarakat menyebabkan berlakunya kerisauan mental rakyat dan menjadikan mereka tidak aman dan tertekan. Suasana tidak aman dan tertekan menjadikan masyarakat lebih gawat bila berlakunya tekanan hidup. Misalnya dengan kenaikan harga barang-barang dan perkhidmatan. Keadaan ini sememangnya berlaku di dalam masyarakat contoh selepas kenaikan harga petrol Februari 2006 sebanyak 30 sen seliter kepada RM 1.92 dan kenaikan tol pada awal 2006 dan dikuti kenaikan 2007 maka kenaikan keperluan asas terusan berlaku contoh harga tepung gandum dari RM1.65 satu kg. kepada RM2.49 kenaikan tambang bas sekolah 50% (BH, 10 Januari 2008: 1), kekurangan minyak masak yang harganya RM2.50 bagi satu kg., susu tepung dari RM10.49 kepada RM11.89 bagi seberat (700g.). Kenaikan juga berlaku bagi barang-barang keperluan dapur seperti ikan kembung naik dari RM6.00 sekilo kepada RM 10.00, tenggiri dari RM16.00 kepada RM22.00 dan daging dari RM16.00 kepada RM 20.00. Pendek kata harga-harga barang dan perkhidmatan meningkat antara 20% hingga RM50%. Kenaikan dan inflasi sedemikian adalah merupakan bala dan bencana besar bagi rakyat jelata. Ketidaktenteraman dari segi keselamatan di atas dan tekanan hidup akibat dari kenaikan harga barang dan perkhidmatan membawa kepada tekanan darah tinggi yang menyerang individu. Tekanan darah tinggi yang diibaratkan sebagai gejala menimpa rakyat ini jika tidak dijaga dan dikawal boleh merosakkan tubuh dan nengundang berbagai-bagai penyakit, bahkan perbandingan bagi Negara dengan kenaikan barang-barang sahaja boleh menyebabkan rakyat marah yang membawa kepada pemberontakan yang boleh menjatuhkan sesebuah Negara.
3. Semakin serius
Kita teruskan analogi dengan memeriksa lagi pertanda-pertanda yang boleh meningkatkan penyakit Negara dari darah tinggi kepada penyakit yang lebih serius kepada kencing manis yang diibaratkan sebagai kakitangan pemerintah termasuk pihak keselamatan, perbandinganya dengan melihat dari segi amalan demokrasi dan hak asasi manusia. Negara kita mengakui berpemerintahan secara demokrasi, tetapi pada hakikatnya banyak sekatan dan pencabulan terhadap amalan demokrasi di Negara ini. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia menjamin rakyatnya bebas menyuarakan pendapat, berhimpun secara aman dan berpersatuan. Peruntukan sesuai dengan Deklarasi Sejagat Hak Asasi manusia 1948 yang juga diterimapakai oleh PBB, Tetapi dari segi praktiknya berlaku percanggahan. Sebagai contoh perhimpunan aman di Batu Buruk pada 8 September 2007 bertukar menjadi tragedi berdarah kerana halangan dan campur tangan pihak polis, bahkan dua orang cedera ditembak polis, begitu juga dengan perhimpunan seramai 100,000 rakyat secara aman untuk menyampaikan memorandum menuntut pilihan raya dijalankan secara bersih pada 10 November juga diganggu polis dan pada kedua-dua perhimpunan berlaku penangkapan dan pembicaraan di mahkamah. Jelas bahawa peruntukan perlembagaan dikesampingkan, sebaliknya Akta Polis 1967 (Akta 344), bahagian VIl seksyen 27A, 27B dan 27C lebih berkuasa dan digunakan. Jadi apa guna perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Dari segi kebebasan bersuara tidak berlaku di Malaysia, semua media letronik dan akhbar utama adalah dikawal, berpihak dan digunakan bagi kepentingan pihak berkuasa, bagi parti politik pembangkang tidak dibenar mengeluarkan akhbar untuk orang ramai, kecuali akhbar parti untuk ahli dan dibenarkan pengeluaran hanya 2 kali sebulan. Untuk menyekat kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat melalui penerbitan Malaysia menggunakan akta ISA dan OSA. Bagi menyekat kakitangan akademik dan kalangan mahasiswa dari bergiat dalam politik, terutama menyokong pembangkang, maka kakitangan universiti dan mahasiswa diikat dengan akta Universiti dan akta universiti kolej. Anehnya sekatan dilakukan agar tenaga pengajar dan mahasiswa tidak berpihak kepada pembangkang. Arahan-arahan dibuat agar sekatan ini dilaksanakan, tetapi dalam masa yang sama sekatan tidak dilakukan, bahkan digalakkan kepada mereka yang menyokong pihak pemerintah. Keadaan yang sama berlaku dalam pilihan raya kampus. Adalah ironi sedang perlembagaan memberi hak kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat, pihak berkuasa sendiri menyekat kebebasan. Ini merupakan tahap serius yang diibaratkan sebagai tahap berpenyakit kencing manis yang melumpuhkan tenaga dan membawa kepada penyakit yang lebih teruk.
4. Tahap kronik
Tahap kronik boleh diibaratkan peningkatan penyakit fizikal dari kecing manis kepada penyakit jantung yang diibarat melibatkan pihak pemerintah atasan. Dengan penyakit jantung ini menggangu sistem perjalanan darah dan melemahkan semua bahagian badan dan boleh membawa kepada maut secara mengejut. Dibandingkan dengan pemerintah antaranya ialah gangguan terhadap perjalanan perundangan Negara yang menyebabkan tidak berlaku keadilan dan timbul rasa tidak puas hati di kalangan rakyat. Di dalam hal ini banyak kes-kes yang dipersoalkan dari segi keadilan. Misalnya kes pemecatan Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas pada tahun 1988 bagi menyelamatkan Umno dan kedudukan Dr. Mahathir. Kes yang menggemparkan ini mencetuskan krisis perundangan Negara. Banyak pihak – termasuk kalangan pengamal perundangan menuntut kes ini dibuka kembali demi keadilan. Kes yang menggegarkan Negara, ialah pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari jawatan Timbalan Perdana Menteri (1988) oleh Dr. Mahathir Mohamad Perdana Menteri Malaysia pada masa itu dan tuduhan-tuduhan terhadapnya dan tindakan Rahim Nor menumbuknya semasa di dalam tahanan. Masih banyak lagi tuntutan keadilan berhubung dengan Datuk Seri Anwar yang seharusnya diselesaikan. Kes pembunuhan berprofil tinggi – Altantuya Sariibuu, wanita Mongolia yang pembicaraan sejak pertengahan tahun lepas (2007) dan sehingga kini masih belum berakhir. Kes Tragedi berdarah Batu Buruk pada 8 September 2007. Dua mangsa, iaitu Suwandi Abdul Ghani dan Azman yang cedera ditembak polis ditangkap, dilokap dan akhirnya dapat dijamin, sedangkan polis yang menembak tidak ditangkap dan tidak pula dibicarakan! Campur tangan Samy Vellu dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap kes Hindraf yang membawa Peguam Negara Abdul Ghani Patail menarik balik tuduhan dan Hakim Sessions Courts, Nursinah Adzumi menggugurkan tuduhan terhadap 31 orang yang ditangkap pada 17 Disember 2007. Mengapa tuduhan ditarik balik, sedangkan tuduhan terhadap mangsa Berdarah Batu Buruk tidak? Sesungguhnya Perlembagaan Negara yang sudah berumur lebih dari 50 tahun telah mengalami 46 kali pindaan yang melibatkan lebih dari 600 perubahan. Termasuk perubahan terhadap perlanjutan umur persaraan Ketua SPR dari 65 tahun kepada 66 tahun yang dilulus parlimen pada 11 Disember 2007. Tentu ada agenda tersembunyi BN menyambung khidmat Tan Seri Rashid Abdul Rahman yang amat berjasa kepada BN itu. Pihak lawan BN melihat SPR telah diperkuda oleh pihak BN bagi memastikan kemenangan mereka. Contoh bagaimana SPR membekukan seramai 680,000 pengundi baru dan menafikan hak mereka mengundi pada tahun 1999. pertambahan masa mengundi dua jam di Selangor pada tahun 2004. SPR perlu dibersih agar perjalanan pilihan raya di Negara ini berjalan dengan telus dan adil. Terakhir melihat kepada kes Lingam yang sedang berjalan pihak rakyat bagai tidak percaya betapa bidang perundangan Negara yang suci dimanipulasi oleh pihak-pihak berkepentingan di dalam perundangan tersebut. Parahnya bidang perundangan Negara kita seolah parahnya individu yang sedang mengalami sakit jantung yang kronik.
5. Tahap kritikal
Merupakan tahap puncak dari segi penyakit fizikal yang boleh dibandingkan dengan kanser atau barah, iaitu penyakit yang ditakuti dan menggerunkan yang boleh membawa maut. Bagi Negara boleh dibandingkan dengan penyakit yang boleh meruntuhkan Negara, iaitu berleluasanya amalan rasuah di dalam Negara, lebih-lebih lagi di kalangan pemerintah dan pegawai-pegawai dalam urusan yang berhubungan dengan Negara dan rakyat. Akibat tindakan yang tidak bijaksana Negara kerugian seratus juta ringgit kerana membayar pampasan projek ‘Jambatan Bengkok’ yang tidak jadi. Kehilangan RM20 juta duit PPRT yang dikaitkan dengan seorang Bekas Menteri. Bagaimana AP dikurniakan oleh Menteri Perdagangan kepada kroni-kroni, pembelian peralatan pertahanan dan komisyen kepada pihak tertentu yang merugikan Negara, bagaimana projek-projek di Terengganu diberi berulang kali kepada kroni Patric Lim dan projek-projek lain pula kepada Vincent Tan, bagaimana seorang Menteri Besar memperuntukkan wang satu juta ringgit bagi setiap kawasan pilihan raya, bagaimana makmal-makmal sains didirikan di sekolah-sekolah tidak mencapai spesifikasi yang memuaskan dan tidak sepadan dengan peruntukan Kementerian Pelajaran, bangunan-bangunan kerajaan yang baru didirikan runtuh dan bocor, Persoalan timbul bagaimana dengan perbelanjaan menyiapkan Port Klang Free Zone berharga sebanyak RM2.8 bilion meningkat naik kepada RM4.7 bilion (The Star, 19 October 2007: 6). Tuduhan rasuah kepada pegawai tinggi polis Negara dan banyak lagi kes-kes yang berhubung dengan rasuah yang semua ini adalah merupakan penyakit barah atau kanser yang meruntuhkan Negara.
6. Mengapa berlaku
Bagi penyakit yang berhubung dengan sosial yang melibatkan salah laku anak sekolah membawa kepada anti sosial, pergaulan bebas, melahirkan anak di luar nikah, merempit, mencopet dan berbagai-bagai jenayah adalah berhubung rapat dengan kegagalan sistem pendidikan sekarang yang tidak mementingkan didikan agama dan akhlak serta cenderung kepada cara hidup liberal. Didikan agama adalah bersifat terpinggir. Pendidikan Jawi-Quran hanya membolehkan pelajar menulis jawi dan membaca Quran yang belum tentu dapat menguasai pelajaran Islam secara baik kerana pelajar-pelajar tidak ditekan dengan mata pelajaran Islam secara mendalam. Ketidakcukupan dengan didikan agama menyebabkan anak-anak terdorong kepada nafsu ammarah. Mereka terpengaruh dengan media-media perdana yang lebih banyak membawa unsur hiburan nafsu lebih dari pendidikan. Untuk masyarakat, pihak pemerintah tidak ikhlas untuk menyebarkan pendidikan Islam. Surau masjid tidak digalakkan dengan pengajaran-pengajaran. Setengah-setengah pakar di dalam bidang Islam dilarang mengajar, tazkirah tidak digalakkan terutama pada bulan Ramadhan. takut pengaruh mereka menggugat pihak berkuasa. Pada satu peringkat masyarakat lebih terpengaruh dengan idea liberal barat yang mau hidup bebas, lantaran itu cadangan JAKIM untuk mewujudkan garis panduan hiburan ditolak (BH, Sabtu 28 Mei, 2005: 1). Mereka juga menolak ‘moral policing’ kerana ianya konon bercanggah dengan hak asasi dan kebebasan (The Star, 23 March, 2005: 20) dan menganggap tugas mendidik anak-anak dengan pelajaran agama dan moral adalah tanggungjawab ibu bapa di rumah ( The Sun, Much 26 -27, 2005: 10). Lantaran tiada didikan agama dan moral, maka tidak hairanlah dari satu survey menunjukkan orang Kuala Lumpur berada pada ranking ketiga terkasar daripada 35 bandar di dunia (NST, June 22, 2006: 6). Sebab itu Kuala Lumpur sebagai tempat tertinggi jenayah berbanding dengan Bandar-bandar lain di Malaysia.
Kegagalan pihak berkuasa menyediakan sistem pendidikan yang mementingkan moral dan nilai kerohanian ditambah dengan kegagalan menghapuskan kemiskinan, bahkan gagal mengawal kenaikan harga barang dan perkhidmatan menjadikan masyarakat gelisah. Untuk menutup kelemahan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Nagib Tun Razak menyerang pihak parti lawan terutama PAS yang menawarkan kepada masyarakat pendekatan kebajikan seperti menurunkan harga minyak dan tol secara praktikal. Ianya menjadi ketakutan pada pemerintah dan menuduh jika diamalkan apa yang ditawarkan PAS akan menjadikan Negara muflis. Kita bertanya bagaimana Negara-negara pengeluar minyak seperti Bahrin mengenakan bayaran hanya 80 sen seliter kepada rakyat dan Saudi sebanyak 40 sen seliter, sedang Malaysia RM1.92? Sepatutnya dengan harga minyak dunia makin naik, rakyat sepatutnya lebih mendapat nikmat, tetapi makin menderita. Kita melihat usaha pemerintah, setelah semua harga barang naik, baru mengadakan badan mengawal harga, stok penimbal dan pusat aduan 24 jam sebagai terlambat dan lebih bersifat politik termasuk – menggambarkan ekonomi Negara pada tahap baik sebagai halwa telinga bagi menghiburkan rakyat yang sedang menderita.
Sesungguhnya rakyat dan Negara menderita bukan saja diibarat pada tahap darah tinggi, tetapi dalam masa yang sama meningkat kepada kencing manis akibat dari sekatan-sekatan hak bersuara, mengadakan himpunan secara bebas dan berpersatuan. Menurut Human Rights Watch:
“It has been three years since Prime Minister Datuk Seri Abdullah came into office but there has been no institutional reform to strengthen human rights protection in Malaysia.”
(The Sun, January 15, 2007: 2)
Suasana sedemikian berterusan hingga kini.. Keadaan Malaysia dari segi kebebasan Media lagi teruk. Semua media utama dari segi cetak dan letronik dikawal pemerintah.
Akibat sekatan media, maka kedudukan Malaysia dari segi Press Freedom Ranking menurun dari kedudukan ranking 92 (2006) kepada kedudukan ke 124 (2007) (The Sun, Oct. 18, 2007: 7). Menurut Freedom House`s Annual index:
“Malaysia ranked worse as a media friendly country this year compared to last year, and was currently trailing behind the Phllippines, Indonesia, Thailand, Cambodia and East Timor.” (The Sun, May 4, 2007: 8).
Negara bukan sekadar sakit darah tinggi dan kencing manis, tetapi juga sakit jantung secara kronik, bagi peristiwa pemecatan Tun Salleh Abas (1988) adalah disifatkan:
“It was the year Article 121 of the Federal Constitution was amended, divesting the judiciary of its autonomy and placing it under the influence of Parliament`. (The Sun Extra, Sptember 21, 2006: 1). Protes terhadap perubahan undang-undang bagi kepentingan politik ini pernah berlaku sejak 7 April 1981 bila 200 lawyer berhimpun di Parlimen menghantar memorandum membantah terhadap Society Act, tahun berikutnya 42 daripada lawyer di atas dituduh sebagai menyertai perhimpunan haram. Mereka termasuk President Bar Cauncil G.T. S. Sidhu didapati bersalah pada Januari 1983. Pada 26 September 2007 – seramai 2000 lawyer mengadakan tunjuk perasaan ‘Walk of Justice’ diketuai Presiden Ambiga Sreenevasan (The Star 21 Oct. 2007: SM4). Sesungguhnya perlembagaan Negara yang mengalami berbagai-bagai peruntukan. Termasuk perubahan terbaru terhadap perlanjutan umur persaraan Pengerusi SPR dari 65 kepada 66 tahun yang diluluskan parlimen pada 11 Disember 2007 mempunyai agenda tersembunyi BN menyambung khidmat Tan Seri Abdul Rashid bin Abdul Rahman yang dianggap berjasa kepada BN itu.
Tahap kritikal yang dihadapi Negara yang dibaratkan sebagai penyakit barah Negara ialah meningkatnya kes-kes rasuah yang melibatkan peringkat mereka yang berprofil tinggi. Tahun ke tahun kes-kes rasuah di Malaysia semakin meningkat. Menurut Corruption Perception Index (CPI), kedudukan Malaysia semakin teruk dari segi rasuah pada tahun 2003 (37), 2004 (39), 2005 (39), 2006 (44) dan 2007 (43) (The Star, 7 November 2006: 12). Dengan banyaknya berlaku kes-kes rasuah dijangka kedudukan Malaysia makin tercorak. Kes-kes rasuah antaranya pemecatan Isa Samad yang dikaitkan dengan politik wang, Isu Istana Zakaria Idros, Isu ‘Tutup Mulut’ Mohd Said Yusof, kes-kes yang dikatakan berhubung dengan Musa Aman, Taib Mahmud, Zulkipli Mat Noor yang dilepaskan, tuduhan terhadap Ramli Yusoff dan jabatan-jabatan Polis Diraja, Kastam dan Eksais Diraja dan Jabatan Pengangkutan Jalan. Semua ini ibarat barah yang kronik yang dihadapi Malaysia. Ia bukan setakat menggambarkan teruknya masalah dan penyakit Malaysia, tetapi ianya boleh melumpuh dan meruntuhkan kerajaan.
7. Kesimpulan
Dari apa yang dibicarakan di atas, Malaysia mengalami penyakit kritikal dengan sakit barah dengan berlakunya rasuah melibatkan pihak tertinggi pemerintah dan politik. Kebobrokan pihak tertinggi yang tidak mengawal pihak pentadbir dan pelaksana ditambah dengan kucar kacirnya dari segi perundangan yang diibaratkan sebagai mengalami sakit jantung melumpuhkan kecergasan pentadbiran. perlanggaran akta-akta, hak asasi dan kemanusiaan yang sepatutnya dinikmati rakyat menunujukkan Negara diibaratkan berpenyakit kencing manis. Kegagalan mengawal kenaikan harga barangan dan perkhidmatan menyebabkan rakyat berada di dalam kegelisahan yang diibaratkan sebagai mereka yang mengalami darah tinggi dan kegagalan dari segi pendidikan Negara yang tidak dapat mendidik masyarakat dengan nilai-nilai akhlak melahirkan remaja bermasalah dan merupakan penyakit sosial bagi masyarakat. Dengan keadaan ini kita melihat kerajaan BN sekarang yang sudah tua dan uzur mempunyai semua bandingan penyakit-penyakit yang dibicarakan di atas. BN sekarang di dalam keadaan menggelabah dan cuba menutup segala kelemahan dengan rancangan-rancangan dan program-program yang bersifat adhoc dan gambaran-gambaran palsu yang sengaja diadakan untuk menutup segala kelemahan. Kita mengharapkan masyarakat tidak tertipu dengan helah dan ancaman perkauman mereka yang terdesak. Marilah sama-sama kita membuat perubahan dan pembaharuan bagi kebaikan dan kebajikan bersama.
Sekian.
Dr. Shafie Abu Bakar
Bangi,
21 Muharram 1429
30 Januari 2008
Source: Harakah
About this entry
You’re currently reading “Sakitkah Negara Kita: Mengapa?,” an entry on JGN TIDO
- Published:
- January 31, 2008 / 1:58 am
- Category:
- Harakah
- Tags:
No comments yet
Jump to comment form | comments rss [?] | trackback uri [?]